Friday, 22 August 2014

Work & Holiday Visa Australia - Malaysia

As-Salam..

Sekadar ingin berkongsi pengalaman memohon Work & Holiday visa - Australia (subclass 462) bagi rakyat Malaysia.

Pertama sekali bagi yg berminat, anda perlulah peka kerana visa ini hanya dibuka setahun sekali dan ianya terhad kepada 100 orang sahaja berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat (dan semestinya memenuhi kriteria yang ditetapkan). Permohonan pada kebiasaannya dibuka pada bulan Julai setiap tahun. Namun bagi tahun 2014/2015, ianya dibuka pada 4 Ogos 2014. [LANJUT MENGENAI VISA]

Perkara-perkara yg perlu anda buat sebelum permohonan dibuka:

Passport

Pastikan anda mempunyai passport yg tempoh sah lakunya adalah sekurang-kurannya 2 tahun bagi mengelakkan anda membuat kerja yang tidak perlu di kemudian hari. Jika passport anda tamat tempoh setelah visa anda diluluskan, anda dikehendaki menghubungi pihak kedutaan memberitahu mengenai penukaran maklumat passport tersebut.

Anda dikehendaki membuat salinan dan "Certified True Copy" semua salinan berikut:
 -  Muka surat maklumat peribadi anda berserta muka surat Pemerhatian/Observation.
 -  Muka surat yang telah digunakan dalam perjalanan anda sebelum ini.


Sijil Kelakuan Baik (Certificate of Good Conduct - CGC)

Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia dan ianya perlu dipohon secara dalam talian melalui eConsular. Bagi tujuan permohonan, anda mesti mempunyai passport yang tempoh sah lakunya adalah sekurang-kurannya 6 bulan. Selesai permohonan, sila cetak "acknowledgement slip" dan bawa semasa proses pemungutan. Sijil akan diproses dalam masa 1 hingga 2 bulan. Dalam kes saya, ianya mengambil masa 2 minggu sahaja. Sila peka dengan sentiasa menyemak laman web eConsular KLN kerana tiada pemberitahuan oleh pihak KLN mengenai status permohonan anda. Apabila status permohonan menjadi seperti di bawah, anda bolehlah ke KLN bagi memungut CGC anda. Bayaran RM20 akan dikenakan bagi setiap sijil yg dikeluarkan.



Keperluan Bahasa

Anda perlulah mengemukakan bukti bahawa anda mempunyai "functional English" dengan menyertakan keputusan-keputusan peperiksaan berikut: IELTS, TOEFL, OET. Dalam kes saya, saya hanya sertakan surat dari pihak universiti yang menyatakan pengajian saya dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.


Keperluan Kewangan

Anda perlulah membuktikan bahawa anda mempunyai sekurang-kurangnya AUD5000 (RM15,000+/-) di dalam akaun peribadi anda. Dalam kes saya, saya hanya mencetak "summary off account" secara online dan mendapatkan pengesahan daripada staff bank.


Keperluan Pendidikan

Sila "Certified True Copy" salinan degree anda di mana-mana Pesuruhjaya Sumpah atau Peguambela & Peguamcara. Menurut pihak VSF Global, salinan transkrip tidak diperlukan. Disebabkan tidak mahu mengambil risiko, saya masih menyertakan salinan transkip.


Sijil Kelahiran

Sila "Certified True Copy" salinan sijil kelahiran anda. Sila pastikan sijil kelahiran anda adalah dwibahasa kerana pihak kedutaan perlu mengetahui maklumat mengenai ibu bapa anda. Jika anda mempunyai sijil kelahiran lama yang hanya menggunakan Bahasa Melayu, anda mempunyai dua pilihan:
  1. Mendapatkan perkidmatan penterjemahan dari penterjeman yang diiktiraf oleh kedutaan. [LANJUT MENGENAI TERJEMAHAN DAN PENGESAHAN DOKUMEN]
  2. Menukar sijil lahir lama anda di JPN. Saya menukarnya di UTC Pudu Sentral dan sijil lahir boleh dipungut selepas 10 minit sahaja.

Gambar bersaiz passport

Sila sertakan dua keping gambar bersaiz passport dan pastikan anda menulis nama anda dibelakang setiap gambar. Pihak kedutaan memerlukan gambar dengan "plain background" tanpa menyatakan latar belakang biru atau putih. Dalam kes saya, saya menggunakan latar belakang putih. 


Semasa hari permohonan dibuka, sila pastikan anda berada di hadapan komputer sebelum masa rasmi yang dinyatakan dengan capaian internet yang baik. Sejurus sistem dibuka, anda dikehendaki memilih tarikh dan masa yang anda inginkan untuk menghantar permohonan (temujanji). Sila lakukan dengan pantas kerana 100 tempat yang ditawarkan akan habis dalam sekelip mata - kurang daripada 30 minit. Dalam kes saya, permohonan bagi mendapatkan temujanji bagi menghantar borang adalah pada 4 Ogos 2014.

Jika anda bertuah mendapat slot bagi menghantar permohonan kepada pihak agen yang dilantik kedutaan Australia (VSF Global), sila bawa borang 1208 yang telah lengkap diisi dan ditandatangani berserta dokumen-dokumen yang disebutkan di atas.

Slot temujanji yang saya perolehi adalah pada 7 Ogos 2014 di pejabat VSF Global, Wisma MCA Jalan Ampang. Di luar pejabat, anda dikehendaki meninggalkan semua barangan peribadi termasuklah telefon bimbit di luar pejabat. Badan anda akan di"scan" sebelum dibenarkan masuk. Nombor giliran diberikan dan selepas giliran anda dipanggil, semua dokumen anda diperiksa oleh pekerja VSF Global. Jika semuanya lengkap, resit akan dikeluarkan dan anda dikehendaki membayar RM170 sebagai yuran pemprosesan (bukan yuran permohonan visa tetapi yuran yang dikenakan pihak agen VSF Global). Selepas itu, anda dikehendaki menunggu giliran untuk proses seterusnya iaitu proses biometric.

Di dalam bilik biometric, cap jari serta gambar anda akan diambil. Tiada soalan akan ditanya kepada anda pada masa ini.

Selesai proses temujanji, anda bolehlah pulang dan menunggu proses seterusnya.

Keesokkan harinya, sms diterima dari pihak bank yang menyatakan bahawa AUD424.58 telah didebitkan dari akaun kad kredit saya. Untuk pengetahuan anda, fee untuk permohonan visa ialah AUD420 dan bakinya ialah yuran pemprosesan kerana menggunakan kad kredit.

22 Ogos 2014 - Pihak kedutaan telah menghantar email bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Dalam kes saya, hanya pemeriksaan x-ray dada diperlukan. Anda diberi masa 28 hari bagi menyempurnakan proses ini. Bayaran yang dikenakan bergantung kepada hospital / klinik yang anda kunjungi (RM110 - RM155). Disebabkan terlalu teruja, saya menjalani pemeriksaan x-ray pada hari yang sama juga. Alhamdulillah keputusan x-ray dada adalah normal.

25 Ogos 2014 - Satu lagi email diterima hari ini. Email yang memberitahu bawaha visa sudah berjaya diperolehi. Alhamdulillah syukur..